SEOUL: Seorang wanita yang disyaki terbabit dalam dua kes kematian akibat minuman dicampur dadah didapati menggunakan ChatGPT dalam merancang jenayah itu, menurut polis, semalam.
Suspek, dikenali sebagai Kim, berusia 20-an, dituduh membunuh dua lelaki dengan memberikan mereka minuman mengandungi benzodiazepine yang diluluskan oleh doktor kepadanya untuk penyakit mental, menurut Balai Polis Gangbuk Seoul.
Siasatan polis mendedahkan Kim memasukkan soalan ke dalam ChatGPT mengenai risiko pemberian dadah itu sebelum kejadian, termasuk soalan seperti apa yang berlaku jika seseorang mengambil pil tidur bersama alkohol dan berapa banyak yang dianggap berbahaya.
-Advertisement-
Kim dirujuk ke pejabat pendakwa raya di bawah tahanan atas tuduhan membunuh, bukannya tuduhan menyebabkan kecederaan yang mengakibatkan kematian.
Ia selepas polis menyimpulkan bahawa dia mempunyai niat membunuh berdasarkan sejarah dalam talian.
“Kim berulang kali bertanya soalan berkaitan dadah di ChatGPT. Dia sedar sepenuhnya bahawa mengambil alkohol bersama dadah boleh membawa maut,” kata seorang penyiasat.
Serangan pertama didakwa berlaku pada 28 Januari lalu apabila Kim memasuki sebuah motel di Suyu-dong, Gangbuk-gu, bersama seorang lelaki berusia 20-an.
Dia meninggalkan motel itu seorang diri kira-kira dua jam kemudian. Lelaki itu ditemui meninggal dunia keesokan harinya kira-kira jam 6 petang di atas katil dalam bilik berkenaan.
Dengan kaedah sama, dia dipercayai membunuh seorang lagi lelaki berusia 20-an pada 9 Febuari lalu selepas mereka mendaftar masuk ke motel di Gangbuk-gu bersama-sama.
Sebelum siri pembunuhan motel itu, wanita terbabit didakwa cuba melakukan jenayah serupa pada Disember tahun lalu.Di sebuah lot parkir kafe di Namyangju, Wilayah Gyeonggi, dia memberikan minuman dicampur dadah kepada seorang lelaki, menyebabkannya pengsan. Mangsa terselamat dan tidak dalam keadaan mengancam nyawa.
-BeritaHarian