KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar dilihat berjaya meredakan tekanan kos perjalanan rakyat apabila inflasi pengangkutan menyusut ke paras -0.7 peratus pada Januari 2026 berbanding peningkatan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Penganalisis Maybank Investment Bank, Azril Rosli, berkata pencapaian itu didorong oleh kejatuhan harga minyak mentah global serta impak pelaksanaan program subsidi RON95 yang bermula lewat September 2025.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan membantu meminimumkan beban perbelanjaan perjalanan pengguna tempatan, sekali gus menyumbang kepada penurunan komponen pengangkutan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP).
-Advertisement-
“Pelaksanaan subsidi RON95 secara bersasar berjaya menstabilkan kos bahan api domestik di tengah ketidaktentuan harga minyak mentah global.
“Ini memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah, khususnya bagi kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menerusi mekanisme itu, warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak membeli RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter dengan had kuota 300 liter sebulan.
Sebagai perbandingan, bukan warganegara dikenakan harga tanpa subsidi RM2.60 seliter, manakala sektor pengangkutan awam dan logistik kekal menikmati kadar RM2.05 seliter.
Selain komponen pengangkutan, kumpulan perbelanjaan utiliti yang merangkumi elektrik, gas dan bahan api lain turut mencatatkan penurunan ketara sebanyak 7.2 peratus pada Januari 2026 susulan pengurangan kos bahan api oleh syarikat utiliti tenaga.
Azril berkata, penurunan itu disokong oleh pelaksanaan mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) secara bulanan yang menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebelum ini, sekali gus membolehkan pelarasan kos dibuat secara lebih responsif dan memberi impak minimum kepada pengguna kediaman.
“Pendekatan AFA yang lebih kerap dan telus membantu mengurangkan kejutan tarif kepada pengguna, terutamanya ketika harga bahan api global menunjukkan trend menurun,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sebahagian penjimatan utiliti itu diimbangi oleh kenaikan kos bekalan air susulan kelulusan Kabinet untuk menaikkan tarif air di Semenanjung (kecuali Perak) dan Labuan, yang menyaksikan subindeks air melonjak 7.3 peratus.
Dalam pada itu, komponen minuman beralkohol dan tembakau pula mencatatkan kenaikan 2.5 peratus pada Januari berikutan penguatkuasaan kenaikan duti eksais bermula November lalu seperti digariskan dalam Belanjawan 2026.
Secara keseluruhan, kadar inflasi utama negara kekal stabil pada paras 1.6 peratus bagi bulan pertama tahun ini.
Azril berkata pihaknya menjangkakan purata inflasi 2026 akan berlegar sekitar 1.8 peratus memandangkan pasaran masih berupaya mengimbangi tekanan kos semasa, dibantu pengukuhan nilai ringgit yang membantu mengekang kos barangan import.
“Sekiranya trend harga komoditi global kekal sederhana dan nilai ringgit terus stabil, tekanan inflasi dijangka kekal terkawal sepanjang tahun ini,” katanya.
-BeritaHarian