KUALA LUMPUR — Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, enggan mengulas mengenai kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
“Nanti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat selepas menghadiri taklimat oleh Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang hari ini.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), yang berada bersama Hamzah ketika itu, menyatakan bahawa keputusan mengenai jawatan tersebut akan dibuat pada masa lain. “Kita sudah memuktamadkan perkara pada peringkat Perikatan Nasional (PN), itu yang paling utama. Perkara lain akan menyusul kemudian. Yang penting, kita sudah melantik Pengerusi PN,” katanya.
-Advertisement-
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin, mengulangi kenyataan Awang dan meminta media bersabar.
Sementara itu, bekas ahli BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menegaskan bahawa Hamzah masih kekal sebagai Ketua Pembangkang. Beliau berkata keputusan akhir mengenai jawatan itu perlu dibuat oleh ahli Parlimen sendiri dan yakin Pengerusi PN baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, akan membuat keputusan terbaik.
Wan Saiful menambah bahawa pencalonan untuk jawatan Ketua Pembangkang akan dibuat oleh PAS, dan berharap Hamzah terus memegang jawatan tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa blok pembangkang yang membabitkan 18 Ahli Parlimen akan terus menyokong Hamzah dan berharap isu ini diselesaikan minggu ini bagi mengelakkan ketidaktentuan.
-beritaharian