KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memberi kelonggaran kepada pengadu atau mangsa yang hadir ke balai polis bagi kes kecemasan atau situasi memerlukan bantuan segera daripada mematuhi etika berpakaian, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata melalui surat edaran bertarikh 29 Disember 2025, ketetapan ini berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan hak pengadu yang terlibat dalam kes-kes memerlukan tindakan segera dan pertimbangan khas tidak dinafikan.
Antara kes yang mendapat pengecualian termasuk jenayah, kemalangan jalan raya, ancaman keselamatan, serta kes yang boleh menimbulkan tekanan emosi atau trauma seperti rogol, samun, cabul dan keganasan rumah tangga.
“Dalam keadaan sedemikian, kebajikan dan keselamatan pengadu adalah keutamaan dan tidak seharusnya dihalang oleh isu pematuhan etika berpakaian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat. Maklumat mengenai ketetapan ini telah disampaikan kepada semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) melalui surat edaran Jabatan Pengurusan PDRM.
-Advertisement-
Shamsul Anuar menegaskan bahawa arahan pentadbiran ini sudah mencukupi dan tiada keperluan menggubal undang-undang baharu. Langkah ini selaras dengan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025, yang membolehkan kementerian dan agensi kerajaan menetapkan etika pemakaian bersesuaian mengikut fungsi dan keperluan perkhidmatan, khususnya bagi urusan di kaunter dan pejabat.
-beritaharian