Pan-gon mahu Selangor terus kebal di laman sendiri

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) jelas sedang terbang tinggi di bawah kendalian jurulatih baharu, Kim Pan-gon selepas belum lagi tewas dalam 10 perlawanan dengan merekodkan lapan kemenangan dan dua seri membabitkan semua pertandingan.

Mereka ketika ini berada di tangga kedua Liga Super sekali gus berpotensi untuk bersaing di pentas Asia musim depan selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia serta Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu berkata, beliau mahu mencipta ‘budaya’ Selangor dengan memastikan pasukan itu sentiasa kuat dan kekal ‘kebal’ di laman sendiri.

“Jadi tiada siapa yang bertandang ke rumah kita dapat merasai kejayaan. Jika mereka masuk ke rumah kita, kami mahu membunuh mereka.

“Inilah budaya yang kita mahu bentuk dalam pasukan ini dan perkara ini sangat penting. Saya rasa pemain sudah mula merasainya, cuma ia masih lagi jauh.

“Tetapi kami cuba menggalakkan pemain supaya membentuk perkara seperti ini untuk diberikan kepada penyokong ‘The Red Giants membolehkan mereka gembira, memenuhi stadium dan demi masa depan SFC,” kata Pan-gon.

-Advertisement-

Bukan itu sahaja, Pan-gon juga mahu mencipta budaya di mana penyokong setia pasukan itu sepatutnya tidak mengkritik pemain yang sentiasa memberikan aksi terbaik di atas padang.

“Saya juga mahu membentuk budaya di mana penyokong tidak mengkritik pemain. Kalau mereka adalah penyokong SFC, maka mereka tidak akan mengkritik pemain pasukan ini.

“Kalau mereka mengkritik, saya rasa mereka bukanlah penyokong kerana kita perlu sentiasa melindungi pemain dan berbangga dengan mereka.

“Jika pemain beraksi tidak cukup baik, kita harus memberi galakan dan semangat kepada mereka. Apabila pemain datang ke SFC, ini adalah pemain kita,” katanya.

-BeritaHarian