Nabil Ahmad Nafikan Dakwaan Hubungan Tegang Dengan Fazura, Sifatkan Ia Cubaan Melaga-Lagakan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad tampil menafikan spekulasi yang mendakwa kononnya hubungannya dengan aktres popular, Nur Fazura pernah berdepan ketegangan.

Menurut Nabil, hubungan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik sejak dahulu dan tidak pernah timbul sebarang isu seperti yang diperkatakan.

“Hubungan saya dengan Fazura memang sangat baik. Kami pernah bekerjasama sebelum ini, cuma saya sendiri terlupa pernah menjalani penggambaran dan menjayakan program bersama.

“Antaranya program Bujang Terlajak bersama Apek Senario. Apabila video lama itu dimainkan semula, barulah saya teringat yang kami sebenarnya pernah agak rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran lagu raya terbaharu Nabila Razali berjudul Tak Sabar Nak Raya yang berlangsung di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), semalam.

Tambah Nabil, pertemuan semula mereka dalam sebuah acara di Jakel berjalan lancar dan mendapat perhatian ramai.

“Alhamdulillah, apa yang dirancang menjadi dan hubungan baik itu masih kekal sehingga hari ini,” ujarnya.

Enggan Layan Komen Negatif Demi Kesihatan Mental

Mengulas mengenai komen negatif yang tular di platform Threads, Nabil mengakui beliau memilih untuk tidak membaca sebarang komen bagi menjaga kesejahteraan emosi.

“Sejujurnya saya memang tidak baca apa yang diperkatakan. Saya juga tidak mempunyai akaun Threads dan memang tidak mengikuti perkara seperti itu demi menjaga kesihatan mental.

-Advertisement-

“Apa yang saya dengar, ada pihak cuba melaga-lagakan — membuatkan orang ini tidak suka kepada orang itu dan sebaliknya. Bagi saya, lebih baik tidak ambil tahu,” katanya.

Menurutnya, situasi sebenar jauh berbeza apabila mereka bertemu secara bersemuka.

“Saya bersama duta Jakel lain seperti Fazura, Que Haidar dan Kamal Adli boleh duduk semeja, bergelak ketawa dan bekerjasama tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

Momen Fazura dan Que Haidar Jadi Perhatian

Dalam pada itu, Nabil turut mengulas momen antara Fazura dan Que Haidar yang menjadi bualan ramai di media sosial.

“Memang ada momen yang orang kata ‘cuteness overload’. Sebagai kawan, bila nampak sesuatu yang berbunga-bunga di set, kita pun rasa seronok melihat keserasian itu.

“Sama ada ia dirancang atau tidak, saya tidak pasti. Tetapi di sebalik tabir, apabila melihat mereka berbual sementara menunggu kamera disiapkan, ia kelihatan ikhlas, insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabil turut tampil dalam video muzik lagu raya Tak Sabar Nak Raya nyanyian Nabila Razali yang dijadualkan dilancarkan di semua platform digital esok.

-BeritaHarian