KOTA KINABALU 22 April 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dijadualkan mengadakan lawatan ke Sabah hari ini bagi meninjau sendiri situasi kebakaran besar yang melanda Kampung Bahagia, Sandakan baru-baru ini.
Lawatan tersebut bertujuan melihat keadaan di lokasi kejadian serta memahami impak sebenar tragedi yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan menjejaskan ribuan penduduk.
Menurut jadual, beliau akan memulakan tinjauan di kawasan berhampiran Masjid Kampung Bahagia sebelum bertemu mangsa yang kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).
Perdana Menteri turut dijangka melawat beberapa PPS utama termasuk di Sekolah Kebangsaan Gas, Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi serta Dewan Lintas Sibuga bagi menyantuni mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian itu.
-Advertisement-
Kunjungan tersebut juga bertujuan memastikan pengurusan bantuan kepada mangsa berjalan lancar serta semua keperluan asas dapat disalurkan dengan berkesan.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, kebakaran besar yang melibatkan kawasan penempatan padat di Sandakan telah memusnahkan lebih empat hektar kawasan dan menyebabkan lebih 9,000 penduduk terjejas.
Lawatan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian, selain mempercepatkan usaha pemulihan pasca bencana di kawasan terlibat. -The Capital Post