KUALA LUMPUR, 1 Mei 2026 (The Capital Post) — Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengesahkan beliau telah menerima notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada Isnin, 4 Mei jam 10 pagi.
Menurut beliau, siasatan tersebut berkait dengan usaha sama kerajaan bersama Arm Holdings dalam pembangunan industri cip negara, susulan laporan yang dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia pada Februari lalu.
Rafizi menjelaskan bahawa kes itu tertumpu kepada dakwaan kononnya beliau mendesak Jemaah Menteri untuk mempercepatkan kelulusan perjanjian berkenaan. Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada unsur rasuah atau kepentingan kewangan terlibat dalam keputusan tersebut.
Beliau turut menjangkakan kemungkinan akan didakwa, termasuk atas tuduhan pecah amanah atau memberi maklumat yang didakwa tidak tepat kepada Kabinet.
-Advertisement-
“Ini mungkin menjadi satu perbicaraan panjang kerana ramai pimpinan tertinggi negara dijangka dipanggil sebagai saksi,” katanya, sambil menambah beliau telah bersedia dengan pasukan peguam.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan keutamaan siasatan SPRM, memandangkan usaha sama dengan Arm Holdings itu masih diteruskan kerajaan dan dipromosikan sebagai langkah strategik untuk membangunkan industri semikonduktor tempatan. – The Capital Post