KUALA LUMPUR 5 Mei 2026 (The Capital Post) – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menghadiri Majlis Perasmian Pejabat Baharu dan Penyampaian Status Malaysia Digital (MD) sempena pembukaan rasmi AngelTreat Malaysia Digital Design Center di ibu negara hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil bersama Naib Presiden Kanan Industri dan Ekosistem MDEC, Gopi Ganesalingam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AngelTreat, Lei Ma, Naib Presiden Teknologi AngelAlign, Eric Li serta Dato’ Sri Chee.
Acara berkenaan menjadi detik penting buat syarikat itu apabila plak status Malaysia Digital turut diperkenalkan secara rasmi sebagai simbol pengiktirafan terhadap komitmen syarikat dalam memperkukuhkan pembangunan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
Tetamu yang hadir turut dibawa melawat fasiliti pusat reka bentuk digital tersebut yang mempamerkan penggunaan aliran kerja pergigian digital berasaskan AI selain keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi.
-Advertisement-
Menurut MDEC, pembukaan pusat itu dilihat mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab utama aktiviti digital bernilai tinggi dan pembangunan teknologi AI di rantau ini.
Inisiatif tersebut juga dijangka memperkukuhkan kerjasama industri serta membuka lebih banyak peluang pembangunan bakat digital tempatan selaras dengan aspirasi negara dalam mempercepat transformasi ekonomi digital. -The Capital Post