SHAH ALAM 7 Mei (The Capital Post) – UMNO Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh dan menjunjung kasih terhadap kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor bertarikh 6 Mei 2026 berkaitan peranan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.
Menurut kenyataan itu, penjelasan yang dibuat Dewan Diraja penting bagi memberi kefahaman kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat dan teguran DYMM Sultan Selangor adalah selari dengan semangat Raja Berperlembagaan serta tanggungjawab Baginda sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan Selangor.
UMNO Selangor berpandangan institusi Raja Melayu memainkan peranan penting dalam sistem semak dan imbang pentadbiran negeri selain menjadi simbol perpaduan rakyat dan kestabilan politik negara.
Sehubungan itu, semua pihak diseru agar menghormati kedudukan serta peranan DYMM Sultan Selangor berdasarkan lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tanpa mempolitikkan titah atau pandangan Baginda demi kepentingan tertentu.
-Advertisement-
Kenyataan itu turut menegaskan pendirian UMNO Selangor yang kekal konsisten mempertahankan institusi Kesultanan Negeri Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi atau tindakan yang dianggap mencemarkan martabat DYMM Sultan Selangor.
UMNO Selangor turut mengimbau pendirian parti itu sebelum ini yang mempertahankan titah Baginda berkaitan isu penternakan babi di Selangor selain mengecam tindakan pihak tertentu yang didakwa menyunting dan menghina imej Sultan Selangor di media sosial.
Dalam masa sama, parti itu menyeru semua pihak agar lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi diraja serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai polemik politik sempit.
Menurut UMNO Selangor, fokus utama semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan isu rakyat, memperkukuhkan kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan baik selaras dengan amalan Raja Berperlembagaan di negara ini. -The Capital Post