Sultan Selangor Kurnia 32 Watikah

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 7 Mei (The Capital Post) – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat menyempurnakan istiadat pengurniaan watikah pelantikan kepada 32 penerima di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan hari ini.

Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Majlis berkenaan melibatkan pelantikan pelbagai jawatan penting termasuk Orang Besar Istana, Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Anggota Panel Tetap Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah serta beberapa jawatan berkaitan institusi kehakiman dan pentadbiran Islam negeri.

Antara penerima watikah ialah Muhammad Faez Tan Sri Muhammad yang dikurniakan pelantikan sebagai Orang Besar Istana Kerabat Diraja Negeri Selangor dengan membawa gelaran Yang Dihormatkan Dato’ Pekerma Bakti Diraja.

-Advertisement-

Bagi pelantikan Anggota MAIS sesi 2024 hingga 2026, watikah dikurniakan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohamed Onn Abd Aziz.

Istiadat sama turut menyaksikan pengurniaan watikah kepada 10 penerima bagi pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), termasuk Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Syed Mohamed Tahir yang dilantik sebagai Pengerusi.

Majlis penuh istiadat itu mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja Selangor dalam memperkukuhkan pentadbiran agama Islam serta institusi kehakiman syariah di negeri berkenaan. -The Capital Post