Pemilik Perniagaan Didenda RM60,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 8 Mei 2026 (The Capital Post) – Seorang pemilik perniagaan dikenakan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuching selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan kegagalan mematuhi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan sehingga menyebabkan seorang pekerja subkontraktor mengalami hilang upaya kekal.

Hukuman tersebut dijatuhkan pada 5 Mei lalu di hadapan Hakim Puan Iris anak Awen Jon selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 18B(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994).

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh selaku prinsipal didakwa gagal melaksanakan pentaksiran risiko berkaitan keselamatan dan kesihatan bagi kerja pemasangan tiang talian atas, penarikan kabel serta kerja penyambungan kabel.

Kegagalan itu didakwa menjadi punca kepada kemalangan yang menimpa seorang pekerja subkontraktor sehingga mangsa mengalami kecederaan serius dan hilang upaya kekal.

-Advertisement-

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang dikenakan.

Kes berkenaan sekali lagi menjadi peringatan kepada majikan dan pemilik syarikat supaya memastikan aspek keselamatan pekerjaan dipatuhi sepenuhnya, khususnya melibatkan kerja berisiko tinggi bagi mengelakkan kemalangan di tempat kerja. -The Capital Post