KUALA LUMPUR 10 Mei 2026 (The Capital Post) – foodpanda Malaysia melancarkan pandaxpress di Berjaya Times Square, sekali gus memperkenalkan sistem pesanan bersepadu seluruh pusat beli-belah yang pertama seumpamanya di negara ini.
Menerusi inisiatif tersebut, rakan penghantar kini boleh mengambil beberapa pesanan serentak di satu lokasi pengumpulan berpusat tanpa perlu bergerak dari satu vendor ke vendor lain di dalam pusat beli-belah.

Sistem itu dikendalikan oleh petugas pengutip khas yang akan mengambil pesanan daripada pelbagai premis sebelum menggabungkannya di kios pusat untuk proses penghantaran yang lebih pantas dan cekap.
Menurut foodpanda Malaysia, pendekatan baharu itu membantu mengurangkan kesesakan pergerakan penghantar di dalam pusat beli-belah selain meningkatkan kecekapan penghantaran kepada pelanggan.
Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Kenneth Soh berkata, pelancaran pandaxpress merupakan sebahagian usaha syarikat untuk memperkukuh pengalaman penghantaran makanan di kawasan bandar.
Beliau berkata, sistem berkenaan direka bagi mengurangkan cabaran lazim penghantaran makanan dari pusat beli-belah menerusi pengoptimuman rantaian penghantaran daripada vendor kepada pelanggan.

-Advertisement-
Sepanjang tempoh 30 hari pertama operasi percubaan, pandaxpress merekodkan peningkatan kira-kira enam peratus dalam jumlah pesanan berjaya berbanding Disember tahun lalu.
Dalam masa sama, purata masa penghantaran turut bertambah baik hampir 10 peratus selain jumlah vendor aktif meningkat lebih 50 peratus, mencerminkan minat tinggi peniaga pusat beli-belah terhadap platform tersebut.
Dengan pelancaran itu, Malaysia kini menyertai beberapa pasaran utama lain termasuk Filipina dan Qatar dalam menawarkan perkhidmatan pusat beli-belah bersepadu di bawah rangkaian Delivery Hero.
foodpanda Malaysia turut merancang memperluaskan pandaxpress ke beberapa pusat beli-belah lain dalam tempoh setahun akan datang bagi meningkatkan capaian digital vendor serta memperkukuh kerjasama dengan pengurusan pusat beli-belah di seluruh negara.
Menurut Kenneth, syarikat melihat potensi besar untuk pandaxpress menjadi sebahagian penting dalam ekosistem pusat beli-belah dengan membantu penyewa meningkatkan jualan dan menjangkau lebih ramai pelanggan menerusi operasi yang lebih efisien.
Sempena pelancaran tersebut, foodpanda turut menawarkan potongan RM10 kepada pelanggan terpilih bagi pesanan makanan daripada vendor tertentu di Berjaya Times Square menggunakan kod promosi SYOK10 melalui aplikasi foodpanda. – The Capital Post