Anwar Lulus RM2.8 Juta Pendidikan Islam Kedah

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR 26 September 2026 (The Capital Post) – Kerajaan MADANI terus memberi perhatian terhadap pemerkasaan syiar Islam dengan memperkukuh institusi pendidikan Islam serta menyokong usaha menyuburkan pengajian dan kefahaman ilmu hadis dalam kalangan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM2.8 juta bagi tahun ini untuk membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Kedah.

Menurut beliau, peruntukan berkenaan bertujuan memastikan para pelajar dapat menuntut ilmu dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat, sekali gus menyokong kelangsungan aktiviti pendidikan Islam di institusi terbabit.

Anwar turut memaklumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada MUSTAQ bagi melaksanakan Program Khatam Hadis Sunan Sittah serta Musthola Hadis.

-Advertisement-

Kedua-dua peruntukan tersebut akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Negeri Kedah.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berharap ikhtiar berkenaan dapat memberi manfaat kepada para pelajar serta terus menyuburkan budaya ilmu dalam masyarakat.

Usaha tersebut turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan institusi pendidikan Islam dan memperluas pengajian ilmu hadis sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kefahaman masyarakat – The Capital Post