KPT Rai Warga Cemerlang dan Pesara

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGI 12 Mei 2026 (The Capital Post)Ministry of Higher Education Malaysia (KPT) terus menegaskan komitmen menghargai modal insan sebagai tunjang utama kecemerlangan organisasi menerusi penganjuran Pentas Apresiasi Bintang dan Legasi KPT Tahun 2026 yang berlangsung di Bangi semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata kejayaan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada dasar atau infrastruktur semata-mata, sebaliknya dibina melalui pengorbanan dan kerjasama warga kerja yang komited.

Menurut beliau, kecemerlangan kementerian adalah hasil sinergi seluruh warga daripada pelbagai peringkat jawatan yang melaksanakan amanah negara dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai warga KPT yang menunjukkan prestasi cemerlang selain meraikan pesara yang telah menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan tinggi negara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Dalam majlis itu, seramai 34 kakitangan menerima Anugerah Kecemerlangan Seri Utama (AKSU) sebagai pengiktirafan tertinggi kementerian terhadap pencapaian luar biasa mereka.

Selain itu, enam pegawai turut dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC 2025) yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang melebihi tugas rasmi.

-Advertisement-

Pengiktirafan turut diteruskan menerusi penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC 2025) kepada 116 kakitangan yang menunjukkan disiplin, integriti dan komitmen tinggi dalam pelaksanaan tugas.

Pada masa sama, majlis berkenaan turut meraikan 164 pesara bagi tahun 2025 dan 2026 yang disifatkan sebagai individu penting dalam memacu pembangunan pendidikan tinggi negara.

Zambry Abd Kadir turut menzahirkan penghargaan kepada mantan Ketua Setiausaha KPT, Anesee Ibrahim atas kepimpinan berwibawa sepanjang perkhidmatannya, selain menghargai sumbangan mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Megat Sany Megat Ahmad Supian dalam memperkukuh dasar dan perancangan strategik kementerian.

Beliau turut menyeru warga KPT agar terus berani melakukan perubahan dan mengamalkan budaya kerja inovatif bagi memastikan kementerian kekal relevan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin berkembang pesat.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian, agensi dan institusi pendidikan tinggi awam. – The Capital Post