NEW YORK 13 Mei 2026 (The Capital Post) – Malaysia menegaskan semula komitmennya terhadap pengurusan hutan mampan dan pemuliharaan biodiversiti global ketika sesi pembukaan Forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hutan (UNFF21) yang berlangsung di New York, dengan pelbagai intervensi strategik disampaikan oleh delegasi negara.
Persidangan tersebut turut menyaksikan pelancaran Laporan Global Forest Goals (GFG) 2026 yang menjadi antara agenda utama sebelum perbincangan diteruskan melibatkan beberapa item agenda berkaitan dasar dan pelaksanaan pengurusan hutan di peringkat antarabangsa.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Delegasi, S. Siva Kumar, yang menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara megabiodiversiti kekal komited dalam mengekalkan lebih 54 peratus litupan hutan negara melalui pelaksanaan dasar nasional, inisiatif landskap serta penguatkuasaan yang berterusan.
Beliau turut menekankan cabaran tekanan guna tanah yang semakin meningkat, selain menyeru sokongan antarabangsa yang lebih kukuh dari segi teknologi, pembangunan kapasiti serta pembiayaan lestari bagi mempercepatkan pencapaian matlamat hutan global.
Dalam sesi intervensi berasingan, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, YBhg. Dato’ Hj Zahari Ibrahim, berkongsi perkembangan inisiatif nasional serta menzahirkan penghargaan atas peluang penglibatan dalam sesi Country-Led Initiative (CLI) yang menjadi platform penting pertukaran pengetahuan antara negara anggota.
-Advertisement-
Sementara itu, Timbalan Ketua Konservator Hutan (Perancangan dan Pengurusan) Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Indra Purwandita Herry Sunjoto, turut menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau melalui pelbagai platform bagi memperkasakan pengurusan hutan mampan.
Beliau turut menekankan peranan penting Collaborative Partnership on Forests (CPF) dalam menyokong negara membangun melalui bantuan teknikal, pembangunan kapasiti serta mobilisasi sumber bagi memastikan kelestarian hutan dapat dicapai secara inklusif.
Sepanjang sesi berlangsung, delegasi Malaysia turut mengambil bahagian dalam beberapa acara sampingan selari bagi memastikan keterlibatan aktif negara dalam semua platform perbincangan berkaitan agenda hutan global. – The Capital Post