KUALA LUMPUR 13 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa melibatkan anggota Malaysia susulan satu insiden letupan dipercayai melibatkan dron berhampiran Markas Interim Pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura.
Menurut kenyataan media kementerian, kejadian tersebut berlaku pada 12 Mei 2026 kira-kira jam 5.30 petang waktu Malaysia dan melibatkan kawasan berhampiran Malaysia House yang menjadi kemudahan rehat bagi lima Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sebagai Pegawai Staf Tentera di bawah UNIFIL HQ.
Sebelum kejadian berlaku, siren amaran dilaporkan telah dibunyikan sekitar jam 5.19 petang dan semua pegawai diarahkan memasuki bunker sebagai langkah keselamatan susulan ancaman di kawasan operasi berkenaan.
Letupan itu dipercayai berlaku kira-kira 20 meter dari Malaysia House dan mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan tersebut.
Bagaimanapun, semua pegawai Malaysia dan kakitangan UNIFIL dilaporkan selamat memandangkan mereka berada di bunker ketika insiden berlaku.
-Advertisement-
Susulan kejadian itu, kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak UNIFIL serta agensi berkaitan.
Kementerian Pertahanan turut memaklumkan bahawa penilaian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tahap kerosakan terhadap struktur bangunan dan peralatan, manakala kerja pembaikan akan diselaraskan menerusi elemen MALBATT 850-13.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat perkembangan semasa di kawasan operasi dengan kerjasama pihak UNIFIL dan semua elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara. – The Capital Post