KK Pontian Pemacu Baharu TVET Johor

Estimate Reading Time: 2 minutes

PONTIAN 15 Mei 2026 (The Capital Post)Kementerian Pendidikan Tinggi terus memperkukuh agenda pendidikan kemahiran negara menerusi pembangunan Kolej Komuniti Pontian yang dijangka menjadi hab baharu pembelajaran sepanjang hayat serta pemangkin pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolej Komuniti Pontian yang berlangsung di Kompleks Penghulu Mukim Benut, Johor.

Projek bernilai RM70 juta itu akan dibangunkan di atas kawasan seluas lapan ekar dan dijangka siap sepenuhnya sekitar tahun 2028 atau 2029 dengan penawaran utama melibatkan program Sijil Agroteknologi dan Sijil Teknologi Pertanian Lestari yang selari dengan kekuatan sektor pertanian di daerah Pontian.

Selain menyasarkan pengambilan sekitar 200 pelajar sepenuh masa, kolej komuniti berkenaan turut bakal memainkan peranan penting dalam memperluas pelaksanaan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi memberi peluang latihan kemahiran kepada masyarakat setempat secara berterusan.

Dalam ucapannya, Dr. Zambry turut mengumumkan bahawa program PSH akan dimulakan seawal dua minggu lagi menggunakan kemudahan sedia ada di Kompleks Penghulu Mukim Benut.

Penduduk sekitar bakal berpeluang mengikuti pelbagai kursus kemahiran termasuk bidang keusahawanan, jahitan, masakan serta latihan teknikal asas tanpa perlu menunggu kampus baharu siap dibina sepenuhnya.

-Advertisement-

Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan akses pendidikan yang inklusif dan bermakna dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosial atau pencapaian akademik.

Menurut beliau, peningkatan permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan berasaskan kemahiran semakin meningkat, terutama dalam aspek kebolehpasaran graduan dan peluang pekerjaan.

Katanya, kolej komuniti bukan sekadar institusi pendidikan tetapi turut berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti yang membantu memperkasa masyarakat setempat serta mengurangkan jurang sosioekonomi melalui pendidikan dan latihan kemahiran.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata projek berkenaan amat dinantikan penduduk kerana diyakini mampu menjadi pemacu baharu pembangunan ekonomi dan pendidikan di daerah tersebut.

Turut hadir dalam majlis itu ialah ADUN Benut, Hasni Mohammad, ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan, Ketua Setiausaha KPT Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hassim serta beberapa pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan. – The Capital Post