KUALA LUMPUR 15 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Komunikasi terus memperkukuh komitmen dalam memperluas agenda integriti dan antirasuah negara menerusi pendekatan komunikasi strategik yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Komitmen itu dizahirkan melalui penyertaan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dalam Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Dewan Perniagaan sempena Agenda Nasional bagi mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2030.
Program anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berlangsung di Aloft by Marriott Kuala Lumpur Sentral (Aloft Kuala Lumpur Sentral) dan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan usaha memperkukuh tadbir urus serta keyakinan terhadap sistem penyampaian negara.
Dalam sesi tersebut, Datuk Abdul Halim turut mendengar ucaptama Ketua Setiausaha Negara yang menekankan kepentingan pendekatan whole-of-nation dalam mendepani cabaran ekonomi semasa melalui pengukuhan integriti, tadbir urus dan kepercayaan pelabur serta rakyat.
-Advertisement-
Sebagai Pengerusi Focus Group 6: Komunikasi Strategik bagi Pasukan Petugas Khas CPI Malaysia, beliau menegaskan peranan komunikasi strategik sebagai medium penting dalam memperluaskan naratif antirasuah dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan integriti dalam pentadbiran negara.
Pendekatan itu juga dilihat mampu membantu memperkukuh persepsi awam terhadap usaha kerajaan dalam memastikan ketelusan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. – The Capital Post