PUTRAJAYA 18 Mei 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat Kerjasama Strategik Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Persekutuan dan Negeri (MKS PPEPN) Bil. 1/2026 telah dipengerusikan oleh Akmal Nasrullah pada 15 Mei 2026 bersama pegawai kanan termasuk Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN/BPEN) serta kepimpinan utama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).
Mesyuarat berkenaan diadakan bagi memperkukuh lagi penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, satu mekanisme kerjasama yang telah lama diwujudkan sejak tahun 1988 bagi memastikan pembangunan ekonomi negara lebih seimbang dan berkesan.
Dalam sesi tersebut, Kementerian Ekonomi turut berkongsi perkembangan semasa ekonomi negara yang kekal stabil pada suku pertama 2026, namun menekankan keperluan untuk sentiasa berwaspada terhadap risiko luar termasuk ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.
-Advertisement-
Bagi menghadapi cabaran berkenaan, kerajaan sedang melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk pengukuhan stok bekalan serta penggunaan sumber secara lebih optimum. Pada masa yang sama, penekanan turut diberikan terhadap pengurusan fiskal yang lebih tersusun melalui amalan penyelenggaraan aset secara sistematik bagi mengelakkan pembaziran kos dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam. – The Capital Post