JKWPKL&P Jelaskan Isu Kad Denggi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 20 Mei 2026, Malaysia (The Capital Post) – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) tampil memberikan penjelasan berhubung isu penggunaan kad pemantauan pesakit denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak yang tular di media sosial sejak semalam.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan jabatan itu, siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku pada 18 Mei lalu dan melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan kerana disyaki menghidap demam denggi.

JKWPKL&P menjelaskan bahawa penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi di fasiliti kesihatan kerajaan adalah dalam Bahasa Melayu. Namun begitu, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa lain bagi membantu komunikasi dengan pesakit serta penjaga di kawasan berkepadatan tinggi yang mempunyai banyak kes denggi.

Menurut kenyataan itu lagi, insiden yang berlaku adalah disebabkan kesilapan tidak disengajakan apabila kad berlainan bahasa diberikan kepada penjaga pesakit.

Walau bagaimanapun, pihak jabatan menegaskan bahawa segala penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan pesakit tetap disampaikan oleh pegawai perubatan dalam Bahasa Melayu termasuk catatan bertulis pada kad pemantauan tersebut.

-Advertisement-

Sehubungan itu, pihak JKWPKL&P memaklumkan bahawa tindakan penambahbaikan segera telah diambil bagi memastikan pengagihan kad pemantauan dilakukan dengan lebih teliti dan bersesuaian pada masa hadapan.

Dalam masa sama, jabatan itu menegaskan komitmen untuk terus mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.

JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang timbul serta memberi jaminan akan terus memastikan mutu perkhidmatan kesihatan awam berada pada tahap terbaik, selamat dan mesra rakyat. – The Capital Post