PUTRAJAYA 20 Mei 2026 (The Capital Post) – Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) Bil. 1/2026 telah diadakan bagi memperkukuh penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan projek pembangunan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) agar berjalan lebih sistematik, berkesan dan menepati sasaran yang ditetapkan.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, yang menekankan kepentingan keberkesanan pelaksanaan setiap inisiatif pembangunan kementerian dalam memastikan penyampaian manfaat kepada rakyat serta kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Perbincangan turut memberi fokus kepada status semasa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan, termasuk isu-isu pelaksanaan yang dikenal pasti serta cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan projek pada masa hadapan.
-Advertisement-
Turut serta dalam mesyuarat berkenaan ialah Ketua Setiausaha NRES, YBhg Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), YBhg Datuk Mas Rizal bin Mohd Hilmi, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), YBrs Tuan Hj Mohd Azman bin Hj Mohd Ariffin serta wakil-wakil jabatan dan agensi persekutuan yang berkaitan. – The Capital Post