PDRM Selangor Zahir Penghormatan Terakhir

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 21 Mei 2026 (The Capital Post) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor hari ini menzahirkan penghormatan terakhir menerusi pelaksanaan solat jenazah serta penyerahan sumbangan kebajikan kepada keluarga Allahyarham ASP Mohd Firdaus Safuan bin Abdul Rasib, Pegawai Kanan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor.

Majlis tersebut turut disertai oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini bin Abu Hassan, bersama barisan pegawai kanan serta warga kontinjen yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir dan menyantuni ahli keluarga Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, bersama beberapa pegawai kanan PDRM termasuk pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

Terdahulu, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses bedah siasat sebelum urusan pengurusan jenazah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk masjid dan surau di sekitar IPK Selangor.

-Advertisement-

Seterusnya, jenazah turut dibawa ke Kuantan, Pahang bagi solat jenazah terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin Perdana sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

PDRM Selangor turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara. – The Capital Post