KUALA LUMPUR 22 Mei 2026 (The Capital Post) – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) sempena Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Ke-2 universiti tersebut yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Pada majlis sama, seramai 26 graduan menerima diploma dan ijazah melibatkan lima program akademik termasuk Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi serta beberapa program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Dalam ucapannya, Steven Sim menzahirkan aspirasi untuk menjadikan UKKM sebagai institusi pendidikan keusahawanan bertaraf tinggi yang bukan sahaja unggul dalam bidang perniagaan, malah berkembang sebagai “AI-driven business school” dalam melahirkan usahawan dan pemimpin koperasi masa depan.
Beliau berkata, penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem pendidikan tinggi amat penting bagi memastikan graduan memiliki daya saing serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi global dan revolusi digital.
-Advertisement-
Tambah beliau, UKKM berpotensi menjadi platform strategik dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor keusahawanan dan koperasi.
Majlis tersebut turut meraikan kejayaan para graduan yang disifatkan sebagai pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi negara menerusi kepimpinan, inovasi dan semangat keusahawanan yang diterapkan sepanjang pengajian mereka. – The Capital Post