KUALA LUMPUR 22 Mei 2026 (The Capital Post) – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, hari ini menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Kementerian Komunikasi kepada 535 penerima Zon Semenanjung dalam satu majlis yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Majlis penghargaan tersebut diadakan bagi mengiktiraf prestasi cemerlang warga kementerian, jabatan dan agensi yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sepanjang tahun perkhidmatan.
Dalam ucapannya, Fahmi turut menyentuh mengenai peranan Quick Response Team yang dilihat mampu membantu kementerian dan agensi kerajaan mengenal pasti isu-isu yang berpotensi menjadi tular selain mempercepat penyelarasan komunikasi kerajaan kepada rakyat.
Beliau berkata, peranan warga Kementerian Komunikasi kini semakin penting dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih pantas, tepat dan berkesan sejajar dengan perkembangan landskap komunikasi digital semasa.
-Advertisement-
Tambah beliau, keupayaan komunikasi strategik yang baik akan membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan, selain menangani penyebaran maklumat tidak tepat di platform media sosial.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian, jabatan dan agensi berkaitan. – The Capital Post