KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor FC (SFC), Kim Pan Gon menegaskan pasukan itu akan tampil dengan lebih kuat selepas menutup kempen musim ini tanpa sebarang trofi.
Selepas menutup kempen musim ini dengan sebagai naib juara Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), jurulatih dari Korea Selatan itu sudah mengintai musim baharu dengan harapan membina sesuatu lebih baik berdasarkan peningkatan ditunjukkan sejak lima bulan lalu.
“Saya datang di pertengahan musim dan setiap kali kami bermain dalam ACC, kami tampil cemerlang. Kami cuba membentuk identiti permainan kami dalam kejohanan ini dengan corak permainan dinamik.
“Final ini menentang lawan yang sangat sukar, tetapi kami tetap cuba mengekalkan karakter kami. Saya sedikit kecewa kerana gagal menamatkan saingan di tempat kedua liga. “Kami sudah menilai semula identiti dan DNA pasukan, dan saya sangat teruja menantikan musim depan. Kami akan menjadi lebih kuat. Kami akan mencabar dan kembali pada posisi kami,” kata Pan Gon.
-Advertisement-
Sebagai rekod, Pan Gon yang juga bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu tampil pada pertengahan musim untuk menggantikan jurulatih interim, Christophe Gamel yang sebelum itu mengisi kekosongan ditinggalkan Katsuhito Kinoshi.
Berdasarkan kegagalan menamatkan Liga Super dalam dua kelompok terbaik, mereka akan terlepas aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selain turut terlepas aksi ACC bagi musim depan. Justeru, tumpuan pasukan hanya akan berlegar untuk mengharungi aksi domestik yang menawarkan tiga trofi iaitu Piala FA, Liga Super dan juga Piala Malaysia. – Berita Harian