KUALA LUMPUR, 3 Jun – Seorang bekas pelayan restoran warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dengan menikam mangsa berkali-kali di sebuah restoran dalam pusat beli-belah di Cheras dua tahun lalu.
Yang Yahong, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Wanita itu didakwa membunuh rakan sekerjanya yang juga juruwang, Zhang Wei, 34, pada jam 4.30 petang, 29 November 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Faridah Nurdinie Bahrum, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar 7,707.8 gram methamphetamine tahun lalu.
-Advertisement-
Kong Mung Kean, 33, didakwa mengedar dadah itu di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Jalan Klang Lama pada jam 5.40 petang, 24 Julai 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan turut dikendalikan TPR Faridah Nurdinie, manakala Kong diwakili peguam Evie Melynda Jee.
Mahkamah menetapkan 16 Julai sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes. – Bernama