NRES, BEC Hong Kong Bincang Kerjasama Kelestarian

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 4 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Business Environment Council (BEC) Hong Kong SAR yang diketuai oleh Pengerusinya, Kevin O’Brien, dalam satu pertemuan rasmi di kementerian tersebut hari ini.

Perbincangan antara kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada peluang kerjasama strategik dalam bidang kelestarian alam sekitar, perubahan iklim, ekonomi kitaran serta amalan terbaik dalam pengurusan sumber semula jadi. Sesi ini turut membuka ruang pertukaran pandangan berkaitan dasar serta inisiatif semasa bagi memperkukuh agenda pembangunan mampan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Selain itu, pertemuan tersebut juga menekankan usaha memperluaskan kolaborasi antara Malaysia dan Hong Kong SAR dalam menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

-Advertisement-

NRES dalam masa yang sama menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama global bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi mempercepatkan tindakan iklim, memelihara kelestarian alam serta memastikan pembangunan negara yang lebih berdaya tahan dan inklusif – The Capital Post.