NEGERI SEMBILAN 5 Jun 2026 (The Capital Post) – Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disaran untuk memainkan peranan lebih signifikan sebagai pemangkin utama dalam pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan melalui pengukuhan kerjasama strategik antara universiti, industri, kerajaan dan komuniti dalam satu ekosistem bersepadu.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa pembangunan industri berteknologi tinggi tidak dapat dipisahkan daripada kekuatan institusi ilmu yang menjadi asas kepada penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat negara.
Beliau berkata pengalaman negara maju seperti Amerika Syarikat melalui Lembah Silikon dan Taiwan menerusi Hsinchu menunjukkan bahawa universiti berperanan sebagai teras utama dalam membentuk ekosistem inovasi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan dan berdaya saing.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan masa hadapan perlu digerakkan melalui model kerjasama quadruple helix yang menggabungkan peranan IPT, industri, kerajaan dan komuniti bagi memastikan setiap pihak menyumbang secara bersepadu dalam pembangunan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa universiti tidak boleh beroperasi secara terasing, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem yang mampu menawarkan penyelesaian kepada cabaran semasa industri dan masyarakat melalui pendekatan berasaskan ilmu serta penyelidikan.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa institusi berteraskan pengetahuan memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan koridor ekonomi baharu dan hab teknologi negara agar tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pengeluaran tradisional semata-mata.
-Advertisement-
Dalam masa yang sama, pengukuhan aspek penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi serta pembudayaan inovasi dilihat sebagai elemen kritikal dalam memastikan industri negara kekal berdaya saing di peringkat global.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan universiti dalam melahirkan ilmu, bakat serta penyelesaian berasaskan penyelidikan perlu dimanfaatkan secara optimum bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh inovasi.
Wacana Kepimpinan AKEPT Siri 3 Tahun 2026 bertajuk “Memperkasa Sinergi IPT, Industri dan Komuniti” itu dikendalikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan menghimpunkan pemimpin IPT, wakil industri serta peserta Kursus Kepimpinan Institusi: Jaringan Industri dan Masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; serta naib-naib canselor IPT awam dan swasta, wakil industri dan peserta program berkaitan – The Capital Post