SEPANG 10 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan mental negara menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) dan AirAsia Aviation Management Services Sdn. Bhd. dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan psikososial ketika menghadapi situasi krisis dan kecemasan.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying di Sepang hari ini.
Kerjasama yang telah terjalin sejak tahun 2016 itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh perkhidmatan sokongan psikososial dan kesihatan mental sebagai sebahagian daripada mekanisme pengurusan krisis negara yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Melalui perjanjian tersebut, kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia akan digerakkan bagi menyediakan intervensi awal, sokongan psikososial serta perkhidmatan kaunseling kepada individu yang terkesan akibat insiden kecemasan, bencana atau situasi krisis yang memerlukan bantuan segera.
-Advertisement-
Inisiatif ini turut melengkapi pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan oleh KPWKM dalam memperkasa akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, termasuk melalui penyediaan khidmat kaunseling dan Talian Kasih 15999 yang beroperasi sepanjang masa bagi membantu masyarakat yang memerlukan sokongan.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kerjasama strategik antara LKM dan AirAsia ini diharap dapat memperkukuh keupayaan tindak balas negara terhadap krisis, selain menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih berdaya tahan, prihatin dan sejahtera.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kaunselor Malaysia, YBrs. Tuan Haji Sadli bin Osman; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Group, Kapten Suresh Bangah; wakil-wakil kementerian serta barisan pengurusan AirAsia. – The Capital Post