NEGERI SEMBILAN 10 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) memperoleh akses pendidikan tinggi yang adil dan inklusif menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak secara langsung kepada komuniti berkenaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata usaha memperkasakan agenda inklusiviti tidak boleh terhenti pada peringkat dasar semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang mampu memberi manfaat sebenar kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Kepimpinan Strategik untuk Inklusiviti OKU di Institusi Pendidikan Tinggi Awam yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek.
Menurut beliau, agenda keterangkuman perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada aspek aksesibiliti, kebolehgunaan kemudahan serta peluang pembelajaran yang sama rata kepada semua mahasiswa tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.
Dalam usaha merangka hala tuju pendidikan tinggi negara, KPT turut mengambil kira keperluan pelbagai kategori OKU bagi memastikan sistem pendidikan yang dibangunkan lebih responsif, mesra pengguna dan mampu memenuhi keperluan semasa.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menegaskan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu beralih daripada sekadar memenuhi syarat pematuhan kepada pembudayaan amalan inklusif yang menjadi sebahagian daripada identiti dan budaya kampus.
-Advertisement-
Beliau menjelaskan bahawa penyediaan kemudahan seperti laluan mesra OKU, akses kepada fasiliti pembelajaran serta sokongan yang bersesuaian merupakan antara petunjuk penting terhadap kesungguhan sesebuah institusi dalam melaksanakan agenda keterangkuman.
Selain itu, beliau menggesa IPT awam dan swasta agar lebih terbuka dalam mempertimbangkan kemasukan pelajar OKU yang mempunyai potensi tinggi untuk berjaya serta menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan.
Program yang dianjurkan oleh AKEPT dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menghimpunkan barisan kepimpinan IPT bagi memperkukuh kefahaman serta perkongsian amalan terbaik berkaitan inklusiviti dalam pendidikan tinggi.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Disability Services Unit UIAM, Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin; Mejar Jeneral Dato’ Yusri Anwar (B); Naib-Naib Canselor universiti awam; Timbalan-Timbalan Naib Canselor; serta pegawai kanan KPT dan IPT. – The Capital Post