Malaysia Perkukuh Kerjasama Buruh Global di Geneva

Estimate Reading Time: < 1 minute

Switzerland 10 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh hubungan antarabangsa dalam bidang perburuhan apabila Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan mengadakan pertemuan bersama kepimpinan UNI Global Union yang diketuai Setiausaha Agungnya, Christy Hoffman sempena Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Sesi ke-114 di Geneva.

Pertemuan tersebut menjadi ruang penting bagi kedua-dua pihak memperkukuh kerjasama strategik dalam memperjuangkan hak pekerja, memperluaskan dialog sosial serta mempertingkat pembangunan tenaga kerja yang lebih mampan di peringkat global.

Dalam sesi perbincangan itu, pihak Malaysia turut berkongsi pelbagai pembaharuan dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI termasuk pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), pelan strategik keselamatan dan kesihatan pekerjaan 2026–2030 serta pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 JAM) yang telah berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kepentingan kebebasan berpersatuan, amalan perundingan kolektif serta pengukuhan perlindungan sosial bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin berubah.

-Advertisement-

Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai kesan ketidaktentuan geopolitik global terhadap pasaran buruh, rantaian bekalan serta kesejahteraan pekerja, di samping menekankan keperluan memastikan prinsip keadilan sosial terus menjadi teras pembangunan ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.

Delegasi turut dihadiri pegawai kanan kementerian termasuk wakil PERKESO serta bahagian dasar perburuhan yang mengiringi delegasi Malaysia dalam sesi berkenaan. – The Capital Post