Malaysia 10 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan bersama enam syarikat utama Jepun dan antarabangsa bagi membincangkan potensi pelaburan baharu dalam sektor berimpak tinggi yang boleh memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.
Sesi perbincangan tersebut melibatkan IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation yang masing-masing merupakan peneraju global dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi pengkomputeran termaju, automotif, tenaga serta pembangunan infrastruktur dan tenaga boleh baharu.
Perbincangan memberi tumpuan kepada peluang kerjasama strategik dalam sektor AI, pusat data, industri digital, tenaga, industri halal serta bidang teknologi masa hadapan yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi global.
Dalam keadaan dunia berdepan cabaran ketidaktentuan bekalan dan krisis tenaga, kerjasama ini dilihat penting bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta memastikan keterjaminan rantaian bekalan negara.
-Advertisement-
Kerajaan turut menekankan usaha berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh ekosistem teknologi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–Jepun yang telah lama terjalin.
Keyakinan yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat berkenaan turut mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini, khususnya dalam sektor teknologi dan industri masa depan. – The Capital Post