Kerjasama Malaysia-Jepun Diperkukuh

Estimate Reading Time: 2 minutes

TOKYO, 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Jepun diakhiri dengan sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae, selepas pertemuan dua hala yang berlangsung dalam suasana persahabatan dan saling percaya yang telah lama menjadi asas hubungan erat antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata Jepun merupakan antara rakan penting Malaysia dalam perjalanan pembangunan negara, dengan sokongan kerajaan serta industri Jepun sejak tahun 1970-an yang telah membantu mempercepat proses perindustrian Malaysia. Beliau menegaskan bahawa kerjasama tersebut terus berkembang ke bidang-bidang baharu yang akan membentuk masa depan ekonomi serantau dan global.

Menurut beliau, pertemuan berkenaan telah membuahkan beberapa kemajuan penting dalam usaha memperkukuh Hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun, termasuk pengukuhan kerjasama keselamatan maritim melalui Official Security Assistance (OSA) yang akan mempertingkat keupayaan keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan teknologi digital bagi menyokong pembangunan industri masa depan serta memperkukuh rantaian nilai teknologi global.

Dalam sektor tenaga, Malaysia dan Jepun memeterai perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara PETRONAS dan JERA selama 20 tahun bermula 2028, yang dijangka mengukuhkan keterjaminan tenaga serta kerjasama strategik industri tenaga kedua-dua negara.

Kerjasama turut diperkukuh dalam bidang mineral kritikal, pembuatan termaju serta pembangunan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, seiring usaha kedua-dua negara menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama kewangan termasuk memperluas penggunaan mata wang Ringgit dan Yen dalam perdagangan serta pelaburan bagi meningkatkan ketahanan sistem kewangan serantau.

Malaysia dan Jepun juga akan meneruskan pelaksanaan empat Memorandum Kerjasama (MoC) yang telah dimeterai sebelum ini sebagai langkah memperkukuh pelbagai inisiatif strategik sedia ada.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan di Myanmar, Asia Barat serta rantau Indo-Pasifik. Mereka menegaskan bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat, saling menghormati dan dialog berterusan antara negara.

Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa hubungan yang dibina atas asas persahabatan, kepercayaan dan perkongsian strategik ini akan terus membuka lebih banyak peluang baharu yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Jepun pada masa hadapan. – The Capital Post

-Advertisement-