-Advertisement-
PUTRAJAYA, 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Bengkel Kerja Pengurusan Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 Jun telah melabuhkan tirai dengan penutup rasmi disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim.
Dalam amanat penutupnya, beliau menekankan kepentingan ketegasan yang berasaskan empati dalam kalangan pegawai tatatertib, selain menyeru agar setiap siasatan dilaksanakan secara pantas, telus dan berintegriti. Beliau turut menegaskan peranan kepimpinan melalui teladan sebagai asas penting dalam membentuk budaya kerja berintegriti di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan bahagian-bahagian KPM.
Bengkel tersebut melibatkan seramai 64 peserta secara bersemuka serta 100 peserta secara dalam talian, yang terdiri daripada pegawai Sektor Integriti dan Sektor Perancangan dan Pengurusan (S4PD) JPN, wakil bahagian KPM serta wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta amalan terbaik dalam pengurusan tatatertib dan integriti selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, ke arah mempertingkatkan kecekapan tadbir urus sektor pendidikan negara. – The Capital Post
-Advertisement-
-Advertisement-