KUALA LUMPUR 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh budaya kesukarelawanan dalam kalangan warganya melalui penganjuran Kempen Derma Darah yang mendapat sambutan menggalakkan di Dewan Mahfodz hari ini.
Program anjuran Kelab Sukan KKR itu berjaya menarik penyertaan seramai 116 kakitangan, dengan 86 orang berjaya melaksanakan pendermaan darah, sekali gus menyumbang kepada usaha menampung keperluan bekalan darah negara.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu pesakit yang memerlukan transfusi darah, malah turut memberi manfaat kesihatan kepada penderma sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat dan bertanggungjawab.
Pusat Darah Negara (PDN) turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta barisan jawatankuasa yang telah memastikan kelancaran operasi kempen, termasuk pengurusan logistik dan penyelarasan awal pagi bermula jam 8.30 pagi.
-Advertisement-
Menurut PDN, kejayaan penganjuran program ini membuktikan tahap kesedaran tinggi dalam kalangan warga KKR yang bukan sahaja berperanan membangunkan infrastruktur negara, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui aktiviti kebajikan seperti pendermaan darah.
Sehubungan itu, PDN menggalakkan lebih banyak agensi kerajaan, syarikat korporat dan organisasi awam untuk bekerjasama dalam menganjurkan kempen seumpama ini sama ada di premis masing-masing atau di pusat pendermaan darah statik di seluruh Lembah Klang. – The Capital Post