Australia Rancang Universiti Islam, UIAM Jadi Rujukan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Satu inisiatif bersejarah dalam landskap pendidikan tinggi Islam antarabangsa sedang dirancang apabila Australia bakal menubuhkan universiti Islam pertama di negara itu yang akan dibangunkan di Sydney.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam kunjungan hormat oleh Founder of the United Muslims of Australia, Sheikh Shadi Alsuleiman ke atas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Pertemuan itu membincangkan pelbagai isu berkaitan perkembangan Islam di peringkat serantau dan global, termasuk peranan komuniti Muslim dalam memperkukuh agenda pendidikan, dakwah serta pembangunan masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya saing.

Dalam sesi berkenaan, Sheikh Shadi memaklumkan bahawa projek universiti Islam tersebut mendapat sokongan pihak kerajaan Australia, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan institusi pendidikan Islam dalam pembangunan masyarakat moden dan progresif.

-Advertisement-

Inisiatif itu dijangka menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang mampu melahirkan graduan Muslim berwibawa dalam pelbagai bidang profesional serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menjelaskan bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijadikan antara model rujukan utama dalam pembangunan institusi tersebut, khususnya dari segi tadbir urus, integrasi ilmu naqli dan aqli, pengantarabangsaan serta pembangunan akademik.

Kerjasama dan perkongsian pengalaman ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan Malaysia dalam landskap pendidikan tinggi Islam global serta memperkukuh lagi jaringan akademik antarabangsa. – The Capital Post