RMK13 Pacu Ketahanan Ekonomi Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerajaan menegaskan komitmen memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam mendepani cabaran global termasuk krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perkara itu dikongsi oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah dalam sesi fireside chat bertajuk “IMKL 2206: Navigating External Uncertainties, Strengthening Resilience” yang memberi tumpuan kepada hala tuju ekonomi negara serta agenda reformasi jangka panjang.

Perbincangan memberi fokus kepada lima teras utama iaitu pelaksanaan RMK13 serta disiplin pelaksanaan projek, pengukuhan ketahanan ekonomi dan keselamatan tenaga, pembangunan teknologi termasuk semikonduktor dan inovasi, pembangunan modal insan serta usaha memperkukuh pertumbuhan gaji yang mampan, selain strategi mengubah ketidaktentuan global kepada kelebihan struktur ekonomi negara.

Menurut beliau, Malaysia memasuki fasa pelaksanaan RMK13 dengan asas ekonomi yang kukuh, namun keutamaan kini adalah memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

RMK13 yang memperuntukkan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi ekonomi negara, termasuk memperkukuh mobiliti sosial dan pembangunan mampan berasaskan pendekatan lebih adaptif terhadap perubahan global.

-Advertisement-

Pada tahun 2025, negara mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM426.7 bilion melibatkan 8,390 projek yang dijangka mewujudkan hampir 245,000 peluang pekerjaan baharu, dengan sektor maklumat dan komunikasi merekodkan pelaburan sebanyak RM152.9 bilion.

Malaysia turut terus memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor menerusi pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) serta kerjasama strategik Malaysia–ARM bagi memperkukuh keupayaan reka bentuk cip, pembungkusan termaju dan pembangunan bakat tempatan.

Sesi tersebut turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan Malaysia bukan sahaja berupaya menghadapi ketidaktentuan global, malah menjadikannya sebagai peluang untuk memperkukuh daya saing dan kedudukan sebagai destinasi pelaburan berdaya tahan. – The Capital Post