SARAWAK 11 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek pembangunan apabila Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Bintulu, Sarawak hari ini.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau kemajuan projek pembangunan di bawah jabatan berkenaan serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai status pelaksanaan semasa di lapangan.
Dalam program berkenaan, beliau turut mengadakan sesi pertemuan bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Bintulu bagi mendengar pandangan serta perkembangan operasi jabatan.
Antara projek utama yang diberi perhatian ialah pembinaan kuarters baharu bagi pegawai dan kakitangan Jabatan Kimia Malaysia di Bintulu yang dijangka menyediakan kemudahan kediaman lebih selesa, selamat dan kondusif.
-Advertisement-
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesejahteraan penjawat awam, malah turut menyokong keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat di peringkat negeri.
MOSTI dalam pada itu menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara efisien dan memberi impak maksimum selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, pegawai kanan kementerian, wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Sarawak serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu. – The Capital Post