PUTRAJAYA 12 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh tatakelola, integriti dan reformasi institusi sebagai asas penting dalam membina sebuah negara yang lebih telus, adil dan berdaya saing.
Perkara itu dinyatakan ketika beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Halim Aman, bagi membincangkan usaha memperkasa agenda integriti serta tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negara.
Menurut Perdana Menteri, integriti bukan sahaja menjadi tuntutan dalam perkhidmatan awam, malah merupakan elemen penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap institusi negara serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh sistem tadbir urus yang berkesan akan memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan negara berlangsung secara mampan dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
-Advertisement-
Dalam masa yang sama, Kerajaan MADANI akan terus menyokong dan memperkasakan SPRM sebagai institusi yang bebas, berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.
Pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil oleh generasi masa kini dan akan datang melalui pentadbiran yang berteraskan integriti dan akauntabiliti. – The Capital Post