MTEN Fokus El Niño dan Ketahanan Ekonomi

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 12 Jun 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berhubung fenomena El Niño dan potensi kesannya terhadap negara, termasuk aspek cuaca, bekalan sumber serta kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut bersetuju agar METMalaysia memperhebat usaha penerangan awam dengan mengadakan sesi taklimat dan program kesedaran di seluruh negara bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai risiko cuaca ekstrem.

Selain itu, kesiapsiagaan di peringkat negeri dan komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah pencegahan serta persediaan awal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dalam menghadapi sebarang kemungkinan akibat perubahan cuaca.

Mesyuarat turut mendengar pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) mengenai hala tuju industri syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) negara. Kerajaan berpandangan bahawa pertumbuhan industri perlu dipacu oleh keupayaan, inovasi dan daya saing pemain industri, manakala kerajaan akan terus menyediakan ekosistem dasar yang stabil, jelas dan mesra pelaburan.

-Advertisement-

Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik serta cabaran rantaian bekalan dunia, kerajaan menegaskan komitmennya untuk memastikan ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan dan mampu melindungi kepentingan rakyat melalui perancangan yang strategik serta berpandangan jauh.

Pendekatan tersebut selaras dengan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan Malaysia bersedia menghadapi pelbagai cabaran masa depan tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. – The Capital Post