KUALA LUMPUR 12 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Komunikasi menzahirkan sokongan berterusan terhadap usaha memperluas akses rakyat kepada kandungan sukan bertaraf dunia apabila Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah hadir menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 di Angkasapuri Kota Media hari ini.
Perlawanan pembukaan yang menemukan Mexico dan Afrika Selatan itu turut menjadi simbol komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem penyiaran negara melalui penyampaian kandungan sukan antarabangsa kepada rakyat secara lebih meluas.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Unifi TV telah dipilih sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, sekali gus membolehkan rakyat menikmati siaran langsung 104 perlawanan secara percuma menerusi platform MyTV, RTM Klik dan Unifi TV.
-Advertisement-
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam mempertingkat akses rakyat terhadap acara sukan berprestij dunia di samping memperkukuh peranan penyiar tempatan dalam industri penyiaran digital dan kandungan sukan.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duta Besar Mexico ke Malaysia TYT Luis Javier Campuzano Piña, Charge d’Affaires Suruhanjaya Tinggi Republik Afrika Selatan ke Malaysia Aletta Maseko, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Ashwad Ismail serta Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof. – The Capital Post