KOTA KINABALU 15 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi di bawah rangkaiannya menerusi lawatan kerja Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad ke Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Lawatan tersebut merupakan sesi terakhir dalam program kerja beliau di Sabah pada 12 Jun lalu, yang bertujuan meninjau perkembangan semasa serta mempererat hubungan antara kementerian dan agensi pelaksana pembangunan negeri.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengurus Besar SLDB, YBhg. Datuk Syaheddrul R Joddari bersama barisan pengurusan tertinggi agensi sebelum menghadiri sesi taklimat berhubung peranan dan fungsi SLDB dalam pembangunan tanah, sektor perladangan serta peningkatan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Sabah.
Taklimat yang berlangsung turut menyentuh pencapaian semasa organisasi, perancangan pembangunan yang sedang dilaksanakan serta strategi masa hadapan bagi memperkukuh kecekapan operasi dan meningkatkan produktiviti dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
-Advertisement-
Selain membincangkan hala tuju pembangunan, sesi tersebut turut menjadi medan pertukaran pandangan mengenai cabaran semasa, keperluan organisasi serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan berjalan secara lebih mampan, tersusun dan berdaya saing.
Lawatan kerja itu mencerminkan komitmen berterusan KKDW dalam memperkasa kerjasama antara agensi, sekali gus memastikan agenda pembangunan luar bandar di Sabah dapat dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan memberi manfaat kepada rakyat. – The Capital Post