KUALA LUMPUR, 16 June 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam kerjasama serantau bagi pembangunan telekomunikasi dan digital menerusi penganjuran The 4th Meeting of the Asia-Pacific Telecommunity Preparatory Group for the ITU Plenipotentiary Conference 2026 (APT PP26-4) di Kuala Lumpur.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, hari ini merasmikan majlis pembukaan mesyuarat tersebut yang menghimpunkan wakil negara anggota Asia-Pacific Telecommunity (APT) sebagai persediaan menjelang ITU Plenipotentiary Conference 2026 (PP-26) di Doha.
Menurut perkongsian di Facebook Kementerian Komunikasi, penganjuran mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau melalui penelitian input negara anggota APT, pembangunan APT Common Proposals (ACP) yang mengangkat aspirasi bersama rantau Asia-Pasifik, serta penyelarasan persiapan ke arah PP-26.
Dalam ucapannya, Datuk Abdul Halim menegaskan kepentingan kerjasama dan konsensus bagi memastikan International Telecommunication Union (ITU) kekal relevan serta responsif terhadap perkembangan telekomunikasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang pesat.
-Advertisement-
Beliau menyatakan keyakinan bahawa perbincangan yang berlangsung sepanjang mesyuarat itu akan memperkukuh pendirian bersama rantau Asia-Pasifik menjelang PP-26, sekali gus menyokong peranan aktif Malaysia dalam membentuk ekosistem telekomunikasi global yang inklusif, selamat dan mampan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Mano Verabathran, dan Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi, Nik Yusaimi Yussof.
Persidangan Plenipotentiary ITU merupakan badan pembuat keputusan tertinggi organisasi itu yang menentukan hala tuju masa depan sektor telekomunikasi global. Penganjuran APT PP26-4 sekali lagi menyerlahkan peranan Malaysia sebagai pemain aktif dalam perbincangan dasar digital serantau dan antarabangsa. – The Capital Post