Anwar Seru Rakyat Johor Pertahan Politik Harapan

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU, 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor untuk terus mempertahankan politik berteraskan harapan, perpaduan dan kasih sayang demi memastikan Malaysia kekal berada di landasan reformasi serta pembangunan yang mampan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar Ibrahim berkata perjuangan kerajaan hari ini bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya menjadi penentu sama ada negara akan terus dipengaruhi politik lama yang sarat dengan kebencian dan penyalahgunaan kuasa atau bergerak ke hadapan berlandaskan prinsip akauntabiliti, keadilan dan kesantunan terhadap rakyat.

Beliau berkata kerajaan telah membuktikan bahawa agenda reformasi yang dibawa bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi pengukuhan tadbir urus, usaha membanteras rasuah, peningkatan pelaburan serta pemulihan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Namun, Anwar mengakui perjalanan untuk merealisasikan agenda perubahan itu masih panjang dan jauh daripada sempurna.

Menurut beliau, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, termasuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela, mendengar suara masyarakat secara lebih menyeluruh serta menutup kelemahan dalam sistem sedia ada.

-Advertisement-

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Johor untuk terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam memperkukuh politik yang menyatukan rakyat dan memperkasakan negara.

“Dengan dukungan rakyat, kita akan terus bekerja lebih keras untuk mengangkat martabat negara dan memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang kuat, saksama dan bermaruah,” katanya.

Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan pembaharuan institusi demi masa depan negara yang lebih baik. – The Capital Post