MOTAC dan Sarawak Perkukuh Kerjasama Majukan Industri Pelancongan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 18 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Sarawak menerusi kunjungan hormat dan lawatan rasmi oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yang berlangsung di Putrajaya.

Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot menerima delegasi MTCP yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel. Turut mengiringi delegasi tersebut ialah Setiausaha Tetap MTCP, Morshidi Fredrick serta beberapa pegawai kanan kementerian.

Pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan sektor pelancongan di Sarawak, termasuk usaha mengenal pasti peluang baharu serta menyelaras inisiatif yang dapat memperkukuh pertumbuhan industri pelancongan negeri dan negara.

Selain itu, sesi berkenaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam merangka strategi yang lebih berkesan bagi meningkatkan daya saing sektor pelancongan serta memperluaskan impak ekonomi kepada komuniti setempat.

-Advertisement-

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, MOTAC menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh sinergi bersama Kerajaan Sarawak dalam usaha merancakkan industri pelancongan, memperkasakan sektor kreatif serta menyokong pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Chua Choon Hwa bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian. – The Capital Post