SHAH ALAM 18 Jun 2026 (The Capital Post) – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPANS) telah menganjurkan Sesi Bicara Ilmu bersama Ahli Suruhanjaya serta Majlis Penyampaian Surat Tawaran kepada pegawai lantikan baharu negeri Selangor yang berlangsung di Auditorium Dato’ Seri Harun Idris, PKNS, Shah Alam.
Program tersebut menampilkan sesi perkongsian ilmu bertajuk pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam yang menekankan aspek pengalaman, integriti dan kecemerlangan sebagai asas utama dalam membina jati diri penjawat awam yang berkualiti. Sesi berkenaan disampaikan oleh Ahli Suruhanjaya, Datin Paduka Dr. Hajah Noraida Mohd Yusof dan Dato’ Haji Hassan Mohd Amin, dengan Mohd Rashidi Ruslan bertindak sebagai moderator.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian surat tawaran pelantikan kepada seramai 111 pegawai baharu yang melibatkan pelbagai skim perkhidmatan di bawah pentadbiran Negeri Selangor.
Antara jawatan yang ditawarkan termasuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 dan DG5, Penolong Pegawai Tanah Gred NT5, Pelukis Pelan (Kejuruteraan Awam) / Penolong Jurutera Gred JA5, Pembantu Setiausaha Pejabat, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N1, Pembantu Khidmat Am Gred H1 serta Pengawas Hutan Gred G1.
-Advertisement-
Program ini mencerminkan komitmen SPANS dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri melalui pemilihan dan penempatan pegawai yang berkelayakan serta berintegriti, selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.
Inisiatif ini juga diharap dapat melahirkan barisan penjawat awam yang kompeten, berdedikasi dan berdaya saing dalam menyokong pembangunan negeri Selangor ke arah yang lebih progresif dan mampan. – The Capital Post