Belia ASEAN Perkasa Tindakan Iklim

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 19 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah merasmikan Program “Weaving the Future – ASEAN Youth Climate Action 2026”, satu inisiatif serantau yang menghimpunkan golongan belia dari negara-negara ASEAN bagi memperkukuh penglibatan mereka dalam usaha menangani perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan mampan.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa generasi muda memainkan peranan penting sebagai pemacu masa depan rantau ini dan perlu diberi peluang untuk menerajui penyelesaian inovatif dalam mendepani cabaran alam sekitar yang semakin kompleks.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia telah melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) pada April lalu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh dasar perubahan iklim negara. Inisiatif tersebut dilihat selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara penyerap karbon yang memiliki kekayaan biodiversiti dan tergolong dalam kelompok negara megabiodiversiti dunia.

-Advertisement-

Menurut beliau, komitmen serta suara golongan belia hari ini akan menjadi faktor penting dalam membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan lestari untuk generasi akan datang.

Program tersebut turut berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu perubahan iklim, memperluas jaringan kerjasama serantau dan menggalakkan penyertaan aktif golongan muda dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, tindakan iklim serta pembangunan ekonomi hijau.

Selain itu, inisiatif berkenaan diharap dapat memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai kepentingan kelestarian serta membina komitmen bersama dalam menangani cabaran perubahan iklim secara lebih menyeluruh dan berkesan demi masa depan yang mampan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah wakil Minggu Iklim Shanghai, Zhang Xiao Yi; Presiden dan Naib Canselor Universiti UCSI, Prof. Emeritus Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; serta Presiden Malaysian Chinese Association merangkap Ahli Parlimen, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bersama wakil-wakil universiti berkenaan. – The Capital Post