PULAU PINANG 19 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh usaha mempercepatkan pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (Task Force) PTJSD Bilangan 6 Tahun 2026 yang diadakan di Pulau Pinang.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim bagi menyelaras pelaksanaan projek selain meneliti perkembangan semasa serta isu-isu berbangkit yang memerlukan tindakan segera daripada agensi berkaitan.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir. Ibrahim Esa; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Mohd Hadzmir Yusoff; Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaafar serta wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pegawai kanan kementerian serta agensi terlibat.
Mesyuarat memberi tumpuan kepada kemajuan pelbagai komponen utama projek termasuk kerja pembinaan, pengalihan utiliti, pengurusan tanah, proses perolehan serta aspek pembiayaan. Dalam usaha memastikan projek berjalan mengikut jadual, PLUS telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi termasuk mempercepatkan kerja pembinaan secara serentak di beberapa lokasi, menjalankan kerja pada hujung minggu serta mengoptimumkan penggunaan jentera berkapasiti tinggi di tapak projek.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh status pengalihan utiliti yang melibatkan Tenaga Nasional Berhad dan Petronas Gas Berhad, isu pengambilan tanah, kelulusan perolehan, pelantikan perunding serta penyelarasan pembiayaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
-Advertisement-
Sejurus selepas mesyuarat, Ketua Setiausaha KKR bersama delegasi daripada KKR, LLM, JKR dan PLUS Malaysia Berhad mengadakan lawatan tapak ke Persimpangan Permatang Pauh bagi meninjau sendiri kemajuan pembinaan serta perkembangan terkini projek tersebut.
KKR menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan projek PTJSD dapat disiapkan dengan cekap dan berkesan, sekali gus meningkatkan kelancaran trafik, kesalinghubungan dan keselesaan pengguna jalan raya di koridor utama Pulau Pinang.
Pelaksanaan projek ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan yang memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur strategik berkualiti tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. – The Capital Post