KUALA LUMPUR 19 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama KPJ Healthcare Berhad melancarkan Kempen “Digestive Care 4 Life” bagi memperkukuh usaha pencegahan penyakit serta meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan saringan awal, khususnya bagi penyakit yang tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Menara KPJ, Kuala Lumpur, yang menegaskan bahawa sistem kesihatan negara bukan sahaja memberi tumpuan kepada rawatan pesakit, tetapi juga melindungi golongan sihat melalui langkah pencegahan yang lebih proaktif.
Kempen ini merupakan hasil kerjasama strategik antara KKM dan KPJ Healthcare dalam memperluaskan akses kepada saringan kesihatan serta mempertingkatkan pengesanan awal penyakit, khususnya berkaitan sistem penghadaman termasuk kanser kolorektal yang menunjukkan trend peningkatan di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif utama, KPJ Healthcare akan menyediakan sebanyak 500 prosedur endoskopi dan kolonoskopi secara percuma kepada pesakit yang dirujuk daripada fasiliti KKM, sekali gus membantu mempercepatkan proses saringan dan diagnosis awal.
Kerajaan turut memperuntukkan RM80 juta bagi Program PeKa B40 serta RM10 juta bagi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) bagi memperluaskan capaian saringan kesihatan kepada rakyat, khususnya kumpulan berpendapatan rendah.
-Advertisement-
Menurut Menteri Kesihatan, usaha memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta amat penting dalam memastikan sistem kesihatan negara kekal mampan, responsif dan mampu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada seluruh rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan pencegahan perlu diperkasakan sebagai strategi utama dalam mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit di Malaysia pada masa hadapan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan; serta Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare Berhad, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid bersama barisan pengurusan kanan syarikat. – The Capital Post